mutakhir

Pekerja Rapid KL jadi 'bidan terjun'

Oleh Nor Haidya Syafira Amir

Kuala Lumpur: Pekerja Rapid KL terpaksa menjadi 'bidan terjun' bagi menyambut kelahiran bayi di Stesen LRT Puchong Prima, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang, Shahira Nurdiyana Rauf, 32, yang sedang berehat terdengar jeritan rakan sekerjanya meminta bantuan.

"Seorang wanita mengadu sakit perut dan menunjukkan tanda untuk melahirkan anak," katanya.

Melihat keadaan wanita berusia 36 itu, beliau dibantu oleh penyelia pembersihan membawanya ke bilik rawatan di stesen itu.

"Wanita itu selamat melahirkan bayi lelaki sementara menanti pasukan perubatan tiba," katanya.

Wanita dan bayi tersebut dibawa dengan ambulans ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut.

Tindakan beliau mendapat penghargaan daripada pengurusan Prasarana dan diraikan di dalam majlis ringkas di Ibu Pejabat Prasarana di sini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah, memuji keberanian dan kebolehan beliau mengendalikan situasi cemas ini dan menyampaikan saguhati atas tanda terima kasih syarikat

Selain itu, Shahira Nurdiyana yang baru memulakan tugas selepas cuti berpantang anak kedua rasa bersyukur kerana bayi dan wanita berkenaan dalam keadaan sihat.

"Pengalaman melahirkan dua cahaya mata dan sifat keibuan yang dimiliki turut membantu mengendalikan situasi cemas ketika melahirkan bayi tersebut," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 3:17pm
d