mutakhir

Pindaan RUU LUAS untuk hukuman lebih berat diluluskan

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar sumber air diluluskan hari ini.

Cadangan itu dibentangkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu untuk dibahaskan dan diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata, RUU itu adalah untuk memastikan segala usaha dan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengelakkan masalah pencemaran sungai seterusnya memelihara sumber bekalan air di negeri berkenaan.

"Daripada apa yang saya lihat, ahli-ahli yang berhormat secara sepakat memberikan sokongan penuh malah menunggu-nunggu pindaan Enakmen LUAS 1999 ini dilaksanakan.

"Untuk meminda enakmen ini, ia harus dilihat bersama Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya kita dapat memahami secara menyeluruh dan tidak melepasi batas undang-undang sedia ada," katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu, hari ini.

Beliau berkata, Enakmen LUAS 1999 yang diwartakan pada 20 Mei 1999 itu tidak pernah dipinda sejak ia dikuatkuasakan lebih 20 tahun lalu.

Pindaan berkenaan menaikkan denda daripada RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta, manakala penjara dijadikan hukuman mandotari.

Undang-undang itu juga memperuntukkan hukuman supaya pencemar sumber air membayar kepada LUAS kos membersih kesan pencemaran termasuk boleh menuntut ganti rugi kos ditanggung sepanjang memegang harta benda yang disita.

Antara pindaan lain adalah menambah baik prosedur arahan kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa awam supaya mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang terjejas; memberi kuasa kepada pengarah atau pangkat pegawai polis tidak rendah daripada inspektor untuk menyita tanpa waran harta benda.

Selain itu, mahkamah boleh memerintahkan harta benda yang disita dilucutkan hak walaupun tiada pertuduhan dan sekiranya mahu dituntut semula; ia perlu dirujuk kepada mahkamah; memperuntukkan kuasa kepada LUAS bagi menawarkan ganjaran kepada pemberi maklumat serta LUAS boleh mengenakan caj lebihan pengambilan air bagi mengawal pembaziran sumber air.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 4:51pm
d