mutakhir

'Makhluk ganas' gigih cari rezeki [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Gelagatnya memakai kostum Predator sambil mengoreng dan menjual ayam gunting mencuri tumpuan pengunjung.

Ada yang mengagumi tindakan itu, namun tidak kurang juga ada yang menjauhkan diri kerana takut melihat 'wajahnya' yang bengis.

Lelaki di sebalik kostum berkenaan, Mohd Nor Hisham Awang Nong, 47, berkata dia mengenakan pakaian itu bukan sahaja mahu mempromosikan jualan, tetapi bagi menghiburkan pengunjung.

Katanya, kostum itu dipakai selama satu jam iaitu bermula 5 petang setiap hari sejak enam bulan lalu bergantung kepada keadaan cuaca.

"Memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebagai peniaga, saya perlu melakukan inisiatif yang lebih kreatif bagi meraih jualan.

"Saya berharap peniaga lain yang terjejas juga dapat tonjolkan kreativiti masing-masing ketika mencar rezeki," kata pesara kerajaan itu ketika ditemui di Jalan Utama, di sini, hari ini.

Mohd Nor Hisham juga berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas kehilangan mata kanan sejak empat tahun lalu.

Dia kemudian bersara awal dan mengusahakan gerai ayam gunting terbabit dengan dibantu isteri, Norhashimawati Hashim, 41, yang juga kakitangan kerajaan.

Anak kelahiran Pekan, Pahang itu berkata, kostum yang dianggarkan bernilai RM10,000 terbabit diperoleh daripada Gabungan Pre­dator Malaysia berpusat di Johor.

"Pada mulanya, ada yang mendakwa tindakan memakai kostum itu satu 'kerja gila', namun kini saya mendapat sokongan daripada pelbagai kaum terutama yang meminati watak berkenaan.

"Saya mengambil masa selama 30 minit bagi memakai kostum dan ini juga menjadi cara saya menghiburkan diri sendiri untuk menghilangkan penat ketika mencari rezeki," katanya.

Terdahulu, video Mohd Nor Hisham memakai kostum Predator pernah tular di media sosial pada Ogos lalu ketika menolak motosikalnya yang kehabisan minyak di Jalan Dato Kramat, di sini.

Katanya, ketika itu dia bersama rakan dalam perjalanan ke Padang Kota Lama bagi melakukan aktiviti amal memberi sumbangan pelitup muka secara percuma kepada orang ramai.

"Tiada yang tampil membantu, tetapi ramai mahu bergambar dan mungkin mereka berasa lucu melihat 'makhluk ganas' menolak motosikal.

"Memang salah saya kerana tidak periksa dahulu motosikal, mujurlah stesen minyak tidak jauh dari lokasi, namun itu menjadi kenangan manis kepada saya," katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 5:04pm
d