mutakhir

Covid-19: Enam kluster baharu dikesan [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan enam kluster baharu Covid-19 di Sabah, Lembah Klang, Putrajaya dan Johor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam kluster baharu itu adalah Kluster Nahaba, Kluster Numbak, Kluster Perigi, Kluster Seri Terapi, Kluster Padang dan Kluster Harmoni.

Menurutnya, Kluster Nahaba membabitkan daerah Kota Belud di Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-35,808 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 4 November lalu.

Menurutnya, saringan kontak rapat mengesan sebanyak 24 lagi kes positif Covid-19.

"Kluster Numbak membabitkan daerah Kota Kinabalu, Sabah yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-22,036 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke wad di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif Covid-19," katanya pada sidang harian Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Perigi pula membabitkan daerah Klang di Selangor yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-18,667 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 15 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 38 lagi kes positif Covid-19 yang mana semua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Kluster Seri Terapi membabitkan daerah Kepong di Kuala Lumpur dan daerah Alor Gajah di Melaka yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-36,180 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 November lalu dan kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Katanya, saringan kontak rapat mengesan sebanyak 11 lagi kes positif Covid-19.

"Sementara Kluster Padang membabitkan daerah Kota Tinggi di Johor yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-39,210 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 November 2020.

"Kluster Harmoni pula membabitkan Putrajaya yang mana kes bagi kluster ini dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja 7 November lalu. Semua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 6:47pm
    d