mutakhir

Hujan lebat, struktur lemah dorong tanah runtuh

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kekerapan hujan lebat dan struktur tanah lemah antara punca berlaku kejadian tanah runtuh yang mengorbankan dua mangsa di sebuah villa milik The Banjaran Hotspring Retreat, Tambun, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak, Mat Niza Abdul Rahman berkata, situasi itu mendorong aktiviti kegelongsoran tanah yang akhirnya menimbus sebahagian daripada villa.

"Kawasan ini pula dikelilingi bukit batu kapur dan di atasnya ada tanah baki hasil relau batu kapur itu. Kalau kita lihat atas tanah baki itu tumbuh pokok dan daripada jauh nampak macam cantik dan stabil.

"Tetapi apabila hujan yang banyak (lebat) semalam, air hujan melemahkan tanah yang berada di atas batu kapur itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mat Niza berkata, terdapat risiko tanah runtuh berulang disebabkan musim hujan ketika ini, namun semuanya bergantung kekuatan struktur tanah.

"Ini adalah kejadian tanah runtuh yang pertama berlaku di kawasan Banjaran Hotspring," katanya yang memberitahu akan melakukan kajian tahap keselamatan di kawasan sekitar bersama pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, keseluruhan 47 pegawai dan anggota terbabit operasi termasuk enam orang dari Unit K9 JBPM Lembah Klang bersama dua anjing pengesan.

"Ketinggian (cerun) dianggarkan kira-kira 100 meter dan kawasan pencarian memfokuskan di kawasan jakuzi yang berada di dalam villa berkenaan," katanya.

Menurutnya, dalam siasatan awal, runtuhan berlaku mungkin disebabkan pergerakan tanah di atas bukit berikutan hujan lebat sejak beberapa hari.

Berita berkaitan

Dua mangsa terperangkap tanah runtuh ditemui maut [METROTV]

2 terperangkap tanah runtuh di Banjaran Hot Spring

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 1:05pm
d