mutakhir

Keputusan permohonan batal saman pelantikan Speaker, timbalan pada 18 Januari

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 18 Januari tahun depan untuk keputusan permohonan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said serta dua lagi bagi membatalkan saman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta empat individu lain berhubung pelantikan Azhar dan Azalina, masing-masing sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Selain Azhar dan Azalina, turut memfailkan permohonan untuk membatalkan saman ialah Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Peguam Syazwani Mohd Zawawi yang mewakili Azalina dan Nizam Mydin ketika dihubungi pemberita berkata, hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan bagi permohonan membatalkan saman, namun ditangguhkan ke tarikh baharu berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pihak kami dimaklumkan oleh mahkamah mengenai tarikh baharu untuk keputusan ialah pada 18 Januari 2021, jam 9 pagi di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid," katanya yang mengendalikan kes itu bersama peguam Tania Scivetti.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azhar dan Mohd Rashid mengesahkan tarikh keputusan itu.

Pada 23 Julai lalu, Dr Mahathir dan anaknya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz serta bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Azhar dan Azalina.

Dalam saman pemula mereka, kelima-lima plaintif memohon perisytiharan bahawa jawatan Speaker Dewan Rakyat kosong sejak 13 Julai dan pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah kerana tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 3, 4, 6 dan 47 dan/atau kedaulatan undang-undang.

Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa tempoh 14 hari bagi setiap ahli menamakan calon-calon untuk jawatan Speaker dan Timbalan Speaker bermula dari tarikh usul mengosongkan jawatan-jawatan itu diluluskan.

Mereka juga memohon perintah agar Yang Dipertua dan Timbalannya sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung, hendaklah melalui proses-proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menjadikan satu proses pelantikan yang sah.

Antara alasan yang dikemukakan dalam saman itu ialah tindakan defendan ketiga (Mohd Rashid) yang membuat penetapan dengan memaklumkan bahawa cuma ada satu calon bagi tujuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, adalah tidak sah.

Ini kerana tidak ada peluang diberi oleh defendan ketiga (Mohd Rashid) dan keempat (Nizam Mydin) kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk memajukan pencalonan dan/atau perbahasan dan/atau pengundian bagi mengisi kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam masa 14 hari sebelum mana-mana mesyuarat lanjutan bagi tujuan pelantikan diadakan.

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan keempat untuk memasyhurkan dan/atau memanggil Azhar dan Azalina mengambil tempat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sah.

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 2:06pm
d