mutakhir

Ketidakhadiran murid tinggi di kawasan kes positif Covid-19

Oleh Rohaniza Idris dan Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Penutupan sekolah di seluruh negara dibuat berdasarkan analisis data kes positif, kontak rapat dan kuarantin dalam kalangan murid, guru serta warga sekolah yang semakin meningkat ketika gelombang ketiga Covid-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, data kementerian mendapati kehadiran murid ke sekolah akan terjejas apabila terdapat kes positif di sesuatu kawasan, walaupun terletak di negeri tidak mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.

Beliau berkata, ketidakhadiran murid disebabkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka jika hadir ke sekolah.

Menurutnya, penutupan sekolah di Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak membabitkan seramai 1.09 juta murid, 99,491 guru dan 20,438 kumpulan pelaksana.

"Ini jumlah signifikan dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas barisan hadapan membendung penularan Covid-19.

"Kementerian berpandangan usaha membendung penularan wabak ini amat penting dalam memastikan sesi persekolahan 2021 dapat dimulakan dalam keadaan selamat seperti dijadualkan.

"Ini penting bagi memastikan peperiksaan awam yang ditangguhkan ke Februari 2021 dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang bertanya rasional penutupan sekolah seluruh negara, penangguhan peperiksaan awam dan rancangan membantu pelajar tiada kemudahan Internet serta komputer riba, khususnya di kawasan pedalaman.

Mengenai penangguhan peperiksaan awam, Radzi berkata, keputusan itu mengambil kira pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan antara Mac hingga Jun lalu.

Katanya, terdapat banyak sekolah di beberapa negeri terpaksa ditutup semula ekoran penguatkuasaan PKPB, walaupun ia dibuka semula secara berperingkat bermula 24 Jun lalu.

"Peningkatan ketara jumlah kes positif Covid-19 pada gelombang ketiga dan pelaksanaan PKPB terkini memberi kesan kepada persiapan murid untuk menghadapi peperiksaan.

"Melalui pindaan tarikh peperiksaan awam, calon peperiksaan akan mempunyai masa lebih panjang untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan, selain memberi lebih masa kepada mereka mengikuti pembelajaran secara bersemuka apabila sekolah dibuka semula.

"Penangguhan ini membolehkan KPM lebih bersedia mengatur pelbagai aspek logistik berkaitan pelaksanaan peperiksaan, khususnya di negeri terjejas teruk akibat penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kementerian sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran secara saksama, tanpa mengira keberadaan atau latar belakang sosio ekonomi.

Menurutnya, bagi murid tidak mempunyai akses kepada capaian Internet atau peranti sesuai, PdP dilaksanakan melalui siaran televisyen pendidikan (TV Pendidikan) di saluran TV Okey dan Tutor TV Astro.

Selain itu, katanya, guru melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kaunter pandu lalu di sekolah.

"Kementerian kini di peringkat akhir merangka strategi pelaksanaan komprehensif dalam memperkasa pendidikan digital negara, termasuk mengambil kira keperluan pemilikan peranti murid dan akses internet di sekolah di seluruh negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 2:22pm
    d