mutakhir

Tergamak ugut bunuh ibu, adik

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Lelaki tergamak mengugut mahu membunuh adik perempuan dan ibunya hanya kerana mereka tidak mengucap kalimah syahadah.

Kejadian berlaku 12.45 tengahari semalam ketika mangsa berusia 29 tahun berada di dapur rumah mereka di Kampung Padang Ubi, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek dikatakan pergi ke dapur sambil membawa sebilah pisau dan mengacu ke arah adiknya lalu menyuruh mangsa mengucap syahadah.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian mengugut mahu membunuh adiknya jika gagal berbuat demikian menyebabkan mangsa lari untuk menyelamatkan dirinya.

"Suspek kemudian pergi mendapatkan ibunya berusia 60 tahun dan turut melakukan perkara sama.

"Bagaimanapun, mangsa menyuruh ibu mereka keluar dari rumah kerana bimbang keselamatan wanita terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, selain itu, suspek juga sering mengamuk dan merosakkan barangan dalam rumah berkenaan.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.

"Susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek di hadapan sebuah rumah di Kampung Padang Ubi, di sini, pada 5 petang semalam dan merampas sebilah pisau panjang berukuran kira-kira 21 sentimeter dipercayai digunakan dalam kejadian.

"Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methampetamine dan dia mengaku mengugut ibu dan adik perempuannya," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai ketagihan dadah ketika kejadian dan lelaki itu direman sehingga hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 4:21pm
d