mutakhir

Tolak troli 5km jaja nasi lemak, bihun goreng [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Sejak dua bulan lalu, ibu tunggal ini akan menolak troli sejauh lima kilometer sehari untuk menjaja nasi lemak dan bihun goreng.

Inisiatif itu dilakukan C Mariamah, 45, selepas diberhentikan kerja sebagai tukang cuci ekoran pandemik Covid-19 pada September lalu.

Mahu tidak mahu, ibu kepada tiga anak perempuan itu perlu terus menyara keluarga dengan apa cara sekali pun walaupun terpaksa membanting tulang empat kerat.

"Saya gunakan troli pasar untuk menjaja makanan sejak dua bulan lalu dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.

"Hasil pendapatan itu, saya membayar sewa rumah RM700 sebulan selain anak yang masih belajar," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan gerai penjaja bergerak oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di Jalan Desa Utama, di sini, hari ini.

Sumbangan disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bersama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Pada majlis itu, Mariamah menerima gerai penjaja bergerak selain lesen penjaja sementara waktu terhad dan bantuan sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat Seri Cempaka.

Mariamah berkata, dia berterima kasih kepada YWP dan Menteri Wilayah Persekutuan yang sanggup turun padang dan membantu dia menaik taraf kehidupan sebagai penjaja makanan.

"Sumbangan ini besar maknanya kepada kami sekeluarga dan saya berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk berniaga bagi menampung kehidupan.

"Selepas ini saya akan berniaga di bahu jalan utama ini dan diharap orang ramai terus memberikan sokongan," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, kesusahan dihadapi Mariamah diketahui menerusi Twitter seterusnya YWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif membantunya.

"Kami mahu rakyat di Wilayah Persekutuan dapat hidup dengan selesa dan dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, kita akan permudahkan urusan permohonan lesen untuk mereka berniaga," katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 4:36pm
d