mutakhir

Kerajaan terima 3 tuntutan sivil penamatan kontrak KVDT2 [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan berdepan tiga tuntutan sivil berikutan penamatan kontrak Landasan Berkembar Lembah Klang atau Klang Valley Double Track Project (KVDT2).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan berkata, tuntutan itu adalah semakan kehakiman, writ saman 'breach of contract' daripada pihak syarikat dan permohonan injuksi yang diambil kerajaan.

"Berhubung soalan dikemukakan (Ahli Parlimen) Seremban (Loke Siew Fook) ulasan Peguam Negara terhadap cadangan pihak kerajaan untuk tamatkan atau batalkan kontrak itu, secara umumnya ulasan diberikan Peguam Negara sebagai penasihat kerajaan supaya memastikan penamatan kontrak itu berdasarkan undang-undang atau perjanjian dua pihak.

"Kerajaan mesti pastikan fakta yang mencukupi untuk membolehkan kerajaan ambil tindakan batalkan kontrak itu. Ini bagi elak tindakan sivil dan undang-undang diambil terhadap kerajaan," katanya ketika sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Loke (PH-Seremban) meminta dinyatakan ulasan daripada pihak Peguam Negara terhadap keputusan kerajaan membatalkan kontrak projek KVDT2 kepada Syarikat Dhaya Maju LTAT (DMIA-LTAT) dan implikasi perundangan yang bakal dihadapi.

Loke turut mengemukakan soalan tambahan sama ada kerajaan sedia berunding semula untuk mengelak implikasi perundangan besar dan berlaku kelewatan projek.

Takiyuddin berkata, kerajaan sedia berunding dan sentiasa bersikap terbuka.

"Kerajaan membuat keputusan supaya ada kesepakatan dirunding antara syarikat dan Kementerian Kewangan supaya ada 'win win situation' (situasi menang-menang) dicapai.

"Memang saya akui, kelewatan akan dihadapi oleh kerajaan untuk laksanakan kerana ia membabitkan tindakan. Syarikat dah dapat perintah mahkamah tapi ada beberapa permohonan lain yang sedang ditetapkan tarikh oleh mahkamah dalam bulan ini," katanya.

KVDT2 membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api KTMB sejauh 265 kilometer meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 11:29am
d