mutakhir

9 Jawatankuasa Pilihan Khas baharu diluluskan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas baharu bagi menggantikan 10 jawatankuasa sedia ada.

Jawatankuasa pilihan khas yang baharu itu adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak di bawah perlembagaan; Kewangan dan Ekonomi; Keselamatan; Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri; Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri; Pembangunan dan Infrastruktur; Pendidikan; Kesihatan, Sains dan Inovasi; serta Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan berkata, jawatankuasa berkenaan akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan mesti mengandungi tujuh anggota termasuk pengerusi dan tempoh pelantikan selama dua tahun.

"Jawatankuasa Pilihan Khas itu juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan mengenai apa yang berkaitan dengan bidang tugas dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa serta tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Seterusnya, laporan dikeluarkan hasil daripada siasatan oleh jawatankuasa berkenaan hendaklah dibentangkan di dalam Dewan.

"Penyata yang dibentangkan boleh dicadangkan untuk dibahas, diterima dan dipersetujui oleh Majlis melalui usul di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, jawatankuasa Dewan dalam mesyuarat juga bersetuju Seksyen Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat di Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat menjadi sekretariat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas itu bagi membolehkan ia berfungsi dengan lancar dan berkesan.

Selain itu, katanya, penubuhan Kumpulan Parlimen Rentas Parti (APPGM) diteruskan dengan mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 12:24pm
d