mutakhir

Juragan cuba seludup arak ditahan

Oleh Juwan Riduan

Labuan: Cubaan juragan menyeludup keluar minuman keras dari Labuan gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan laut pantai Navy, di sini, semalam.

Suspek lelaki berusia 32 tahun ditahan PPM Labuan bersama bot laju kargo dengan muatan pelbagai jenama minuman keras bernilai hampir RM10,000.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan Inspektor Shafiq Rezza berkata, bot laju jenis kargo itu bergerak dari Labuan menuju ke Menumbuk jam 10.30 pagi sebelum ditahan anggota PPM yang sedang menjalankan rondaan.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan terhadap muatan kargo itu mendapati sejumlah minuman keras pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup keluar (dari Labuan) tanah besar.

"Seorang lelaki yang juga juragan bot laju kargo ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menyeludup barangan tanpa cukai.

"Turut dirampas bot laju bersama enjin yang digunakan untuk membawa barang seludup berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai minuman keras yang dirampas iaitu RM9,200 termasuk cukai.

"Manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM70,000. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penyeludupan minuman keras dan rokok sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

Katanya, PPM sentiasa mengalu-alukan supaya orang awam khususnya masyarakat maritim sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis untuk sama-sama membantu menjaga keamanan perairan negara.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 1:16pm
d