mutakhir

Lima tuntutan penurunan kuasa Persekutuan kepada Sarawak diluluskan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Kerajaan Persekutuan sudah menunaikan lima daripada 13 tuntutan yang dikemukakan Sarawak dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sarawak.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, lima tuntutan yang berjaya itu ialah Semakan Semula Pemberian Khas.

Beliau berkata, tuntutan kedua diluluskan ialah menyerahkan kuasa untuk mengawal selia pengedaran gas memasak kepada kerajaan negeri berlandaskan kepada Ordinan Pengedaran Gas 2016.

"Tuntutan ketiga adalah berkaitan dengan Tenaga Buruh. Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan penurunan kuasa dari Menteri Persekutuan kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menggubal undang-undang subsidiari mengikut Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76), yang kini diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan.

"Tuntutan keempat adalah Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kepada kerajaan negeri bagi mengawal selia perkara berkenaan alam sekeliling termasuk perkara melibatkan buangan berjadual.

"Tuntutan kelima pula adalah pelepasan dan penyerahan balik tanah yang diberi hak milik Persekutuan di negeri ini dilaksanakan berlandaskan Kanun Tanah Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Juanda Jaya (GPS-Jemoreng) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sharifan Hasidah turut menjelaskan, empat tuntutan masih di peringkat rundingan dan empat lagi masih dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet yang dianggotai bersama wakil kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, satu jawatankuasa juga sudah ditubuhkan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memperhalusi kaedah komprehensif bagi proses pelaksanaan keputusan sudah dicapai.

"Kesinambungan kepada usaha itu terus diperjuangkan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama Kerajaan Persekutuan pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Satu Majlis Khas Kabinet ditubuhkan di peringkat Persekutuan bagi meneruskan dan memantau pelaksanaan keputusan yang dicapai jawatankuasa sebelum ini," katanya.

Katanya lagi, Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) di Jabatan Perdana Menteri juga dilantik sebagai urus setia memantau pelaksanaan keputusan dasar Jawatankuasa Khas Kabinet itu.

"Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan ini supaya usaha mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi rakyat negeri ini dapat direalisasikan," katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 2:03pm
d