mutakhir

Maut kepala dihentak bata

Oleh Mohd Rashidi Yusuf.

Gerik: Penoreh getah maut selepas kepala dihentak dengan batu bata di dalam pergaduhan dengan penganggur di Kampung Lalang dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, 4 petang semalam.

Katanya, siatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada kisah lama suspek, 30, dan mangsa, 61, hingga membawa kepada pergaduhan di luar rumah mangsa kira-kira 12 tengah hari semalam.

"Dalam pergaduhan itu, suspek menumbuk dan menghentak kepala mangsa menggunakan batu bata dan kemudiannya terus melarikan diri," katanya.

Anuar berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Kampung Plang.

Katanya, suspek yang ditangkap polis mengaku bergaduh dengan mangsa dan menghentak kepala mangsa menggunakan bata.

Polis membuat rampasan barangan kes termasuk batu bata yang digunakan dalam kejadian di lokasi kejadian, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood, berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 2:36pm
d