mutakhir

Sembilan didakwa culik untuk tebusan RM300,000

Oleh Audrey Dermawan

Bukit Mertajam: Sembilan lelaki termasuk enam warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000 pada bulan lalu.

Kesemua tertuduh mengangguk tanda faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sri Praca Nanthini Balabedha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh ialah Bosiullah Amir Hussin, 30; Ali Ullah Karim Ullah, 33; Rohim Ullah Hasson, 33; Mohammad Noor Soyod Alam, 26; Nur Kamal Mohd Anis, 30, dan Soyadul Rahaman Abdul Shukur, 28.

Mereka yang bekerja sebagai buruh adalah pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Manakala, tertuduh lain ialah warga tempatan Mohamad Nizam Mohd Yusuf, 28; Johan Anuar, 39, dan Muhammad Ridzuan A Hashim, 24, yang juga penganggur.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama individu yang masih bebas didakwa menculik buruh Ali Didar, 39, untuk mendapatkan wang tebusan RM300,000 di Kampung Baru Alma, di sini, pada 2.15 petang 20 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya M Kalaivaanan, manakala warga asing diwakili peguam T Turuvandran, sementara peguam Mohd Izam Buqhary Mohd Kamri mewakili tiga warga tempatan.

Kalaivaanan memohon mahkamah tidak memberi jaminan kepada semua tertuduh.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 4:01pm
d