mutakhir

Jeram sukarkan operasi SAR

Oleh Juwan Riduan

Keningau: Operasi mencari dan menyelamat dua beradik hilang selepas pacuan empat roda dinaiki bersama bapa mereka dihanyutkan arus deras di Sungai Liawan, Kampung Dangulad, di sini, kelmarin berdepan kesukaran berikutan keadaan aliran sungai yang berjeram.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang yang disambung pagi tadi masih belum menemui kedua-dua beradik terbabit.

Katanya, usaha pencarian hari ini membabitkan seramai 21 anggota bomba dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk Kampung.

"Operasi menyelamat yang memasuki hari ketiga diperluaskan sehingga lima kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan.

"Keadaan aliran sungai berjeram agak menyukarkan operasi mencari dan bahaya untuk bot pasukan penyelamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mudi berkata, setakat hari ini, tiada sebarang petunjuk yang dilaporkan namun operasi menyelamat masih diteruskan.

Dalam kejadian jam 12.08 tengah malam, Isnin lalu, kedua beradik iaitu Jason Lim, 6 dan adik perempuannya Amber Lim, 4, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapa mereka hanyut ketika cuba melintasi jambatan konkrit di kampung berkenaan.

Kenderaan Toyota Hilux berkenaan dihanyut arus deras selepas air dikatakan naik mendadak.

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 4:14pm
d