mutakhir

Naik taraf sekolah daif bantu pembelajaran, pengajaran lebih selamat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sektor pendidikan terus menerima peruntukan besar setiap kali belanjawan dibentangkan dan tidak terkecuali pada Belanjawan 2021, yang menyediakan sejumlah RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi membiayai bidang itu tahun hadapan.

Daripada jumlah itu, RM725 juta diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur 50 sekolah daif di seluruh negara, yang dilihat dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar dan guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata, biarpun jumlah itu berkurangan berbanding Belanjawan 2020 iaitu RM783 juta, peruntukan itu dapat membantu Kementerian Pendidikan mencapai sasaran menyelesaikan isu sekolah usang dalam tempoh tiga tahun ini.

"Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan berjumlah lebih 10,000 buah dan kebanyakan daripadanya merupakan sekolah lama yang dibina sekitar 50 atau 60 tahun lalu, malah ada yang menggunakan struktur kayu terutama sekolah yang terletak di kawasan pedalaman.

"Jelas sekali umur sekolah yang sudah berusia itu mengalami pelbagai masalah fizikal termasuk kebocoran bumbung, pendawaian elektrik dan bilik darjah yang usang, sehingga menyukarkan proses pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan dengan baik," katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau mengharapkan peruntukan itu dapat disalurkan segera bagi tujuan pembaikan atau pembinaan semula sekolah daif, sekali gus memastikan struktur sekolah tidak lagi mendatangkan bahaya kepada pelajar dan guru.

Sejumlah 534 sekolah di seluruh Malaysia terlibat dalam Projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif dari 2016 hingga 2018, dengan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion.

Sebanyak 452 sekolah usang sudah siap dan digunakan sejak 2016 hingga 2019 dengan bakinya masih dalam pembinaan untuk disiapkan.

Selain itu, Aminuddin berharap RM800 juta untuk kerja penyelenggaraan dan tambah baik sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan dapat digunakan untuk meningkatkan fasiliti murid berkeperluan khas termasuk tandas dan laluan untuk orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, peruntukan sebanyak RM150 juta bagi program KPT-PACE, iaitu graduan baharu ditawarkan baucar RM3,000 seorang untuk mengikuti kursus sijil profesional dapat membantu kebolehpasaran graduan dalam tempoh sukar Covid-19.

Katanya, sijil profesional itu boleh melatih belia dengan kemahiran baharu untuk membolehkan mereka mencipta pekerjaan sendiri dan berupaya mendapat pendapatan lebih baik untuk meneruskan kehidupan selepas tamat belajar.

Mohd Mursyid percaya peruntukan RM29 juta bagi melaksanakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah KPT yang turut merangkumi inisiatif pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat dapat memberi masa depan yang cerah kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.

Jelasnya, usaha itu dapat membantu meningkatkan kebolehan dan daya saing golongan belia, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Inisiatif itu menyokong usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan dengan menerapkan teknologi terkini dalam latihan kemahiran yang selaras dengan keperluan pembangunan negara.

"Bagaimanapun kerajaan perlu menjenamakan semula sektor 3D (Dirty, Difficult and Dangerous) supaya pekerjaan ini dilihat gah dan sinonim kepada masyarakat dengan menawarkan gaji yang setimpal bagi menarik minat golongan belia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 5:51pm
    d