mutakhir

Jumlah mangsa banjir Perak bertambah

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat setakat 9.30 pagi, hari ini apabila 311 mangsa daripada 79 keluarga dicatatkan berbanding 86 mangsa daripada 18 keluarga, 11.30 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, bilangan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka bagaimanapun kekal iaitu tiga PPS.

Katanya, jumlah mangsa banjir paling ramai di Kampung Pantai Besar, Ijok, Selama iaitu 243 mangsa daripada 64 keluarga dan kesemuanya ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Besar yang dibuka 8.46 malam tadi.

Beliau berkata, selain itu 42 mangsa daripada 10 keluarga di Kampung Batu 7, Changkat Baru, Matang, Taiping dipindahkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Barakah, Matang yang dibuka 8.30 malam tadi.

"Manakala 26 mangsa daripada lima keluarga yang terjejas di Kampung Larut Hulu Air Kuning, Taiping ditempatkan di Dewan Orang Ramai (DOR) Air Kuning bermula 6.30 petang semalam.

"Secara keseluruhan sebanyak 125 anggota termasuk 62 petugas daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi susulan banjir kali ini yang bermula sejak semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 11:17am
d