mutakhir

Warga Iraq, rakan didakwa ceroboh kolej kediaman UIAM

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) warganegara Iraq dan tiga kenalannya didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh kolej kediaman di universiti itu, awal November lalu.

Abubaker Abdulmunem Khaleel, 30, serta kenalannya, Mustafa Ahmed Nasser Al-Qersh, 28, Omar Ahmed Ali Hussien Al-Mansan, 23, dan Qabos Saeed Qaseem Ali, 25, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mustafa Ahmed, Omar Ahmed dan Qabos Saeed adalah warganegara Yaman dengan Mustafa Ahmed dan Omar Ahmer adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Mereka didakwa bersama-sama telah menceroboh masuk dalam kawasan tersebut dengan niat untuk melakukan satu kesalahan yang menyalahi undang-undang di Kolej Kediaman Mahala Ali, UIAM, Gombak di sini pada 9 pagi, 1 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda yang boleh sampai RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan jaminan kepada setiap tertuduh atas alasan mereka merupakan warga asing, manakala peguam Ashmeer Ashrof yang mewakili Abubaker memohon mahkamah membenarkan jaminan ke atas anak guamnya.

Peguam itu berkata, Abubaker berdepan masalah untuk membuat urusan memperbaharui visa pelajar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan masalah untuk membayar yuran pengajian berikutan bapanya di Iraq hilang punca pendapatan.

Mustafa Ahmed, Omar Ahmed dan Qabos Saeed yang masing-masing tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan Abubaker diikat jamin RM3,500 dengan dua penjamin warga tempatan, manakala dua lagi tertuduh iaitu Mustafa Ahmed dan Omar Ahmed masing-masing dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan ke atas ketiga-tiga tertuduh supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri dua kali setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan Qabos Saeed dijamin kerana status tertuduh sebagai pemegang kad UNHCR belum ditentukan dan menetapkan 7 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 4:00pm
d