mutakhir

Seksanya empat kali terbangun tidur dalam air

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Nenek berusia 94 tahun serik apabila empat kali tersedar daripada tidur di dalam banjir dan kerugian setiap tahun kerana pelbagai barangan musnah.

Berikutan itu, Mariam Yusoff, ibu tunggal paling tua di Kampung Limau Kasturi, dekat sini, membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir, kali ini dengan membina tempat khas bertingkat untuk menyimpan barangan penting termasuk pakaian di tempat selamat.

Menurutnya, dia sudah 42 kali terpaksa berpindah kerana rumahnya ditenggelami banjir hampir setiap kali musim tengkujuh.

"Rumah mak cik berada di kawasan rendah di tepi Sungai Galas dan apabila hujan lebat berterusan air sungai mudah melimpah.

"Musim tengkujuh sudah bermula apabila hujan tidak berhenti sejak malam tadi hingga mak cik rasa tidak sedap hati dan bimbang kemungkinan berlaku banjir," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mariam berkata, dia mula tidak lelap tidur malam kerana musim hujan sudah bermula kerana bimbang air sungai melimpah dan dia tidak sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya, dia masih masih terkenang kejadian sekitar lima hingga 12 tahun lalu kerana tinggal seorang diri dan terjaga daripada tidur ketika berada dalam air.

Katanya, berikutan pengalaman kerap berdepan banjir setiap akhir tahun itu, dia terpaksa mengambil langkah awal membuat persiapannya.

"Kini apabila hujan lebat, mak cik terpaksa berjaga malam kerana bimbang berlaku banjir yang kebiasaan banjir antara 11 malam dan 3 pagi.

"Kejadian banjir di kampung ini tidak boleh diramalkan kerana ada kala berlaku banjir dua hingga tiga kali setiap akhir tahun dan bergantung kepada hujan," katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia tinggal di rumah kayu dibina arwah suami, tetapi ia runtuh dibawa arus deras dalam kejadian banjir besar pada Disember 2014.

Katanya, kerajaan sudah membina rumah baharu untuknya tetapi kediaman itu boleh dikatakan tenggelam hampir setiap kali musim tengkujuh kerana dibina di tempat rendah.

Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 5:03pm
d