mutakhir

MCMC sedang atasi masalah liputan Internet

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang mengatasi masalah liputan Internet di bandar, pinggir bandar dan pedalaman di negara ini.

Ia dijalankan melalui projek pembinaan dan menambah baik infrastruktur di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka selesai pada 2023.

Dalam satu kenyataan MCMC hari ini berkata, dengan terlaksananya JENDELA, ia akan memberi impak liputan 4G yang disasar merangkumi 96.9 peratus kawasan berpenduduk daripada tahap 91.8 peratus sekarang.

Katanya, ia juga bakal meningkatkan purata kelajuan 4G kepada 30Mbps daripada 25Mbps sebelum ini.

"Kemudahan mengakses Internet dalam kalangan komuniti di bandar, pinggir bandar serta juga di luar bandar terutama untuk pelajar sekolah turut dimantapkan melalui perkhidmatan 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang sedang diuruskan oleh MCMC di seluruh negara.

"Tinjauan pengguna Internet tahun ini yang dijalankan MCMC menunjukkan 95.4 peratus individu berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 mempunyai langganan Internet, sama ada sambungan talian tetap atau mudah alih," katanya.

Ia merujuk kenyataan yang dibuat seorang ahli politik baru-baru ini kononnya langganan talian Internet dalam kalangan isi rumah B40 adalah rendah dan tidak kondusif untuk pembelajaran di rumah.

Katanya, kadar langganan bagi golongan berpendapatan kurang RM1,000 pula ialah 82.2 peratus.

Menurutnya, maklumat berkenaan menunjukkan penembusan capaian Internet dalam kalangan keluarga B40 pada masa ini berada pada tahap memberangsangkan.

"Cabaran yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan melanggan pakej data terutamanya bagi golongan B40 yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan untuk membantu anak-anak bersekolah menyelesaikan tugasan di rumah ketika penutupan semua sekolah di seluruh negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebagai langkah mengatasi cabaran tersebut, kerajaan mencadangkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) atau bantuan peranti pintar sebanyak RM180 kepada golongan B40 ketika pembentangan Belanjawan 2021.

"Syarikat telekomunikasi juga turut menyediakan nilai tambah untuk data atau rebat bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) tertakluk kepada terma dan syarat pakej perkhidmatan," katanya.

Selain itu, katanya, syarikat telekomunikasi juga akan meneruskan program 1GB data percuma setiap hari sehingga akhir tahun ini untuk mengakses laman sesawang tertentu termasuk yang berkaitan dengan pembelajaran.

Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 5:50pm
d