mutakhir

Wanita Nepal dibunuh di restoran

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Seorang wanita warga Nepal maut dalam satu insiden pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Kepayang, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pada hari kejadian, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima panggilan mengenai pergaduhan di restoran berkenaan pada jam 7.45 malam.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, polis mendapati seorang wanita terbaring dengan berlumuran darah, manakala seorang lagi lelaki yang juga warga Nepal terbaring dalam keadaan mabuk.

"Wanita berusia lingkungan 30 tahun itu disahkan meninggal dunia dipercayai dicederakan dengan senjata tajam di bahagian leher.

"Susulan daripada itu, polis menangkap lelaki berkenaan dan membawanya ke hospital untuk ujian kesihatan sebelum siasatan lanjut dijalankan.

"Polis turut menemui sebilah pisau dipercayai milik suspek di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, wanita yang maut adalah pekerja sambilan di restoran berkenaan, manakala suspek adalah pelanggan.

Katanya, polis turut menahan empat lagi suspek juga warga Nepal berusia 30-an ditahan untuk membantu siasatan.

"Empat suspek direman empat hari sehingga Ahad, manakala suspek yang menerima rawatan di hospital direman tujuh hari sehingga 18 November ini.

"Punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 9:12am
d