mutakhir

'Syukur Allah masih beri peluang bernafas' - M Daud Kilau

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: "Saya ingat saya sudah 'tiada' lagi ketika sesak nafas semalam, rasa macam sudah hujung nafas tetapi Alhamdulillah, Allah SWT masih beri peluang saya bernafas," kata Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82.

Penyanyi lagu hit Sirih Pinang, M Daud Kilau atau Muhammad Daud Kilau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) dekat sini, semalam selepas mengadu sesak nafas sejak kelmarin.

Difahamkan, penyanyi yang turut terkenal dengan lagu 'Cek Mek Molek' dan 'Gila Judi' itu akan ditahan di wad beberapa hari lagi untuk rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak hospital.

Daud berkata, dia diserang sesak nafas sebanyak dua kali dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk sebelum dihantar ke HTI untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, dia tidak menyangka diserang sesak nafas hingga dimasukkan ke hospital dan kini diberikan bantuan pernafasan menggunakan oksigen.

"Saya dimaklumkan jantung kurang stabil dan keadaan saya sekarang ini tidaklah stabil macam biasa tetapi saya berserah kepada Allah SWT kerana Dia yang menentukan segalanya.

"Saya berserah kepada Allah (jika) dipanjangkan umur saya bersyukur kerana Dia yang menghidupkan kita dan Dia juga yang mematikan kita," katanya di sini, hari ini.

Katanya, dia berharap peminat dapat mendoakan kesihatannya pulih dan mengakui memahami jika tidak dapat menerima pelawat kerana situasi wabak Covid-19 ketika ini.

"Kepada rakan, rakan artis dan peminat saya di seluruh negara saya minta ampun dan maaf kalau ada terkasar atau salah dan silap," katanya.

Sementara itu, isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, 63, berkata, selain mengalami sesak nafas, dia dimaklumkan paru-paru suaminya itu berair.

"Suami sedang menjalani rawatan dan saya berharap dia segera sembuh. Pagi ini keadaan agak baik dan nampak segar sedikit, dia juga ada makan kuih dan minum air," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Daud berdepan masalah kesihatan sejak empat tahun lalu.

Dia yang mempunyai kencing manis kini sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki, tangan dan sakit pinggang selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran.

Berita berkaitan

M Daud Kilau mengadu sesak nafas, masuk hospital

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 2:04pm
d