mutakhir

Dua polis trafik disiasat SPRM

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota polis trafik kerana dipercayai meminta rasuah RM3,000 daripada seorang individu yang mempunyai waran tangkap.

Menurut sumber, suspek yang berpangkat Lans Koperal masing-masing berusia 27 dan 30 tahun meminta wang berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.

"Individu berkenaan difahamkan mempunyai waran tangkap atas kesalahan lampau," katanya di sini hari ini.

Kedua-dua suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 11 pagi tadi ketika memberikan keterangan, namun dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari yang sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Hasbillah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 3:30pm
d