mutakhir

Empat kluster baharu dikesan hari ini [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Empat kluster baharu penularan jangkitan Covid-19 dikenal pasti hari ini iaitu dua di Sabah, satu di Sarawak dan satu di Melaka.

Memperincikan lanjut, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bonggaya membabitkan daerah Sandakan di Sabah.

Katanya, kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-28154 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan komuniti pada 27 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 45 lagi kes positif Covid-19. Semua kes ini sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan.

"Sehingga 13 November 2020, 12 tengah hari, sejumlah 243 individu disaring. Hasilnya, 46 kes dikesan positif Covid-19 (33 kes baharu); 123 individu dikesan negatif dan 74 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, satu lagi kluster baharu turut dikesan di daerah Sandakan, Sabah iaitu Kluster Jambatan B.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-20105 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan. "Saringan kontak rapat dan komuniti setempat mengesan sebanyak 52 lagi kes positif Covid-19.

"Semua kes dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Covid-19, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini sejumlah 201 individu disaring dan hasilnya 53 kes dikesan positif Covid-19 (18 kes baharu), 118 individu dikesan negatif dan 30 individu masih menunggu keputusan.

Selain itu, katanya, terdapat kluster baharu membabitkan daerah Kuching, Sarawak yang dinamakan Kluster Abell.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-42016 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kendiri pada 10 November lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak 13 lagi kes positif Covid-19. Semua kes itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 70 individu disaring. Hasilnya 14 kes dikesan positif Covid-19 (10 kes baharu), 13 individu dikesan negatif dan 43 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Bagi kluster baharu dikesan di Melaka pula, katanya, adalah Kluster BMU yang membabitkan daerah Jasin.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-45077 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 November lalu dan dimasukkan ke Hospital Melaka.

"Saringan kontak rapat mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif Covid-19. Setakat hari ini, sejumlah 69 individu disaring.

"Hasil saringan mendapati 10 kes dikesan positif Covid-19 (10 kes baharu), dan 59 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 7:17pm
    d