mutakhir

Kluster berkaitan tempat kerja meningkat

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan berlaku peningkatan penularan kes Covid-19 yang membabitkan kluster berkaitan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 158 kluster aktif Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 65 kluster atau 41.1 peratus adalah berkaitan dengan tempat kerja termasuk dua kluster baharu diumumkan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 5,681 kes positif Covid-19 yang berkaitan kluster tempat kerja adalah membabitkan 3,369 (59.3 peratus) warganegara dan 2,312 (40.7 peratus) bukan warganegara.

"Ia adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja mereka.

"KKM amat berterima kasih dan ingin menyampaikan penghargaan kepada majikan dalam bersama-sama membantu mengesan kes positif di kalangan warga kerja mereka.

"Tindakan itu dapat mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, tindakan proaktif majikan dan seumpamanya oleh pihak lain untuk mengesan Covid-19 dengan melakukan saringan sukarela sekali gus dapat melindungi individu berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak daripada dijangkiti Covid-19.

"Warga pekerja juga diseru untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan Covid-19 di tempat kerja.

"Majikan dan warga pekerja hendaklah sentiasa memastikan persekitaran tempat kerja dan kawasan gunasama misalnya tandas, dapur dan pantri dalam keadaan bersih dan selamat bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Selain itu, pihak majikan juga diingatkan untuk memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal," katanya.

Beliau menegaskan, didapati risiko penularan adalah tinggi bagi kawasan penginapan pekerja yang sesak dan sempit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 7:36pm
    d