mutakhir

Hadir majlis kahwin, tempat tinggal sesak faktor jangkitan tempat kerja [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Menghadiri majlis perkahwinan dan tempat penginapan pekerja warga asing yang sesak antara faktor berlaku jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan di tempat kerja ini bukan kali pertama berlaku kerana ketika gelombang kedua pun sudah banyak kes jangkitan di tempat kerja.

Menurutnya, melalui penyiasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) misalnya, petugas kesihatan mendapat jangkitan Covid-19 dalam komuniti apabila menghadiri majlis perkahwinan.

"Sebanyak 70 peratus petugas kesihatan ini mendapat jangkitan dalam komuniti manakala faktor lain dari segi tempat penginapan pekerja warga asing.

"Pekerja di tapak binaan dan pengawal keselamatan misalnya tinggal di tempat yang sesak dan sempit sehingga mudah berlaku jangkitan," katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perkara itu perlu dilihat kembali terutama bagaimana menjalankan saringan dan memastikan ada penjarakan fizikal dan penginapan yang selesa.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak tertentu berkaitan penginapan yang lebih selesa malah apa yang KKM bimbang ujian sekali Covid-19 tidak mencukupi sebaliknya perlu dibuat secara berkala.

"Walaupun di kilang ada pengimbas suhu namun kadangkala mereka yang tidak ada gejala itu yang kita bimbang dan ini akan diperhalusi bagaimana untuk mempertingkatkan kerjasama dengan majukan mengadakan ujian secara berkala kepada pekerjanya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 7:52pm
    d