mutakhir

UPNM terima zakat, bantuan ringan beban pelajar B40

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hari ini, menerima zakat dan sumbangan untuk meringankan beban pelajar memerlukan.

Menerusi kenyataan medianya, UPNM menerima sumbangan bantuan zakat daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan dan Yayasan Muallaf Malaysia pula menyumbangkan bantuan makanan.

"Semua sumbangan adalah untuk pelajar UPNM memerlukan khususnya golongan B40 dan yang berada di dalam kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," kata kenyataan itu.

Sumbangan disampaikan Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail, Penolong Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Strategik BIMB Bostamam Hassan dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan Datuk Mohd Chan Abdullah kepada Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

Hadir sama, Bendahari Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, Datuk Muhammad Nik Chan Mohd Chan, Pengerusi Yayasan Muallaf Malaysia Shila Lama, pengurusan tertinggi UPNM dan pelajar yang penerima sumbangan itu.

UPNM sebelum ini menerima sumbangan daripada pihak Yayasan Pembangunan EkonomiIslam Malaysia (YaPEIM) yang bersetuju untuk menyumbang makanan tengah hari bagi pelajar UPNM yang berada di kampus daripada peringkat Asasi, Diploma dan Sarjana Muda.

Menurut kenyataan itu, UPNM dengan kerjasama pihak pengurusan, warga kerja serta ahli Majlis Perwakilan Pelajar

(MPP) terus komited dan prihatin dalam membantu pelajar dan kakitangannya terutamanya waktu sukar semasa berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 10:32pm
d