mutakhir

Mayat kanak-kanak ditemukan di kolam takungan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan di kolam takungan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terowong SMART, Berembang, Hulu Klang, pada 10.04 malam hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mayat itu dipercayai mangsa yang terjatuh petang tadi ke dalam longkang besar berhampiran parkir Smart Safe, Hospital Ampang Puteri.

"Perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa, pada 10.04 malam, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menjumpai mayat disyaki mangsa yang terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran parkir Hospital Ampang Puteri petang tadi.

"Mayat dijumpai di kolam takungan air JPS di Terowong SMART, Berembang, Hulu Klang. Mayat kanak-kanak lelaki ini akan dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasi di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR)," katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, portal MyMetro hari ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran parkir Smart Safe, Hospital Ampang Puteri, di sini, hari ini.

Mohamad Farouk dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada 5.30 petang memaklumkan seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang besar.

Menurutnya, sepasukan polis dikejar ke tempat kejadian dan usaha menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan Shah Alam.

"Mangsa dipercayai seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia 12 tahun.

"Usaha mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan bertumpu di kawasan kolam takungan air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Smart Tunnel, Berembang, Hulu Klang," katanya dalam satu kenyataan terdahulu.

Kejadian itu tular di media sosial apabila video sekumpulan kanak-kanak bermain di tebing longkang besar sebelum seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras.

Berita berkaitan

Kanak-kanak Myanmar dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: November 13, 2020 @ 11:52pm
d