mutakhir

Tangguh kuliah agama sehingga 28 November

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua kuliah agama di masjid dan surau di negeri itu termasuk kelas al-Quran ditangguhkan bermula hari ini sehingga 28 November ini.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan itu sebagai langkah bagi membendung penularan Covid-19.

Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan kuliah agama di masjid seluruh negeri Kelantan.

"Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan.

"Justeru itu, MAIK memutuskan supaya semua kuliah agama sama ada Kuliah Subuh, Kuliah Maghrib, Kuliah Dhuha dan kuliah lain termasuk kelas al-Quran ditangguhkan.

"Manakala solat fardu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 dikeluarkan MAIK sebelum ini," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mendoakan agar wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan seluruh negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh Allah SWT.

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 8:30am
d