mutakhir

Padah jual mercun tanpa lesen

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Seorang lelaki ditahan kerana menjual mercun tanpa lesen ketika serbuan dilakukan di premis miliknya di Jalan Taming Sari, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, penahanan suspek berusia 54 tahun itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada 4.30 petang.

Menurutnya, antara yang ditemukan dalam premis suspek adalah 70 bungkus mercun 'Happy Boom', 10 kotak bunga api, empat paket mercun roket dan satu paket mercun bola.

"Turut dirampas satu kotak 'Assorted Celebration Cake Repeater (138 shot), Happy Boom Peacock Fountain (1 kotak), mercun papan (4 kotak), dan 'Magical Shot' (2 bungkus).

"Anggaran mercun yang dirampas adalah RM5,000, dengan penahanan ke atas suspek dibuat kerana memiliki pelbagai jenis mercun tanpa lesen jualan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Osman berkata, suspek bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 10:56am
d