mutakhir

Posmen maut terlanggar lori

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Posmen yang sedang melakukan penghantaran, maut dalam kemalangan di Kilometer 301.1 Lebuhraya KL-Seremban menghala selatan, semalam.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Muhammad Radzi, 28, terlanggar bucu lori dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Lebih menyayat hati, berdasarkan Facebook (FB) Bandar Baru Online Community yang turut menyiarkan kejadian, isteri mangsa Nur Azura Abdullah kini sedang menunggu masa melahirkan anak sulung mereka.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang maut menaiki motosikal jenis Modenas.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang di lorong kecemasan terlanggar bucu sebelah kanan sebuah lori yang mengalami masalah enjin dan sedang bergerak perlahan dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.

"Lori yang mengalami masalah kerosakan enjin itu turut menyalakan lampu kecemasan, juga berada di lorong kecemasan.

"Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar barangan PosLaju di kawasan Bandar Seri Mahkota, Bangi," katanya dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan peha patah serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang dan bedah siasat dilakukan hari ini.

"Sementara itu, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan Puspakom.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 12:01pm
d