mutakhir

Mayat warga Myanmar lemas ditemui

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Mayat lelaki warga Myanmar ditemui terapung pada jarak 8 batu nautika dari Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), dekat sini, semalam.

Mangsa berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai nelayan sebelum itu dipercayai terjatuh ke laut pada 11 November lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada jam 4.09 petang.

"Operasi khidmat khas mengambil mayat mangsa dilakukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, BBP Sekinchan serta Polis Marin," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa sebelum itu diambil Polis Marin dan dibawa ke sebuah kelong untuk diserahkan kepada bomba.

"Sebuah bot penyelamat dari BBP Sekinchan ke lokasi untuk mengambil mayat itu.

"Mayat kemudian dibawa ke Pantai BNO dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan mayat terbabit.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 2:39pm
d