mutakhir

20 lari PKPD serah diri

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 20 penduduk yang melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, menyerah diri setakat hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, 13 individu terbabit dikesan kelmarin, enam lagi semalam dan seorang hari ini.

Menurutnya, mereka terdiri warga Bangladesh, India, Indonesia dan Nepal serta beberapa penduduk tempatan dan berasal dari Sabah.

"Polis akan mempertingkatkan usaha bagi mencari mereka yang masih hilang.

"Kerjasama dan bantuan orang awam dalam hal ini amat dialu-alukan," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang gagal dikesan untuk membuat saringan Covid-19.

Pengerusinya, Mohamad Zain A Hamid dilaporkan berkata, bilangan mereka yang didapati tidak pulang ke kediaman di situ diperoleh melalui rakan dan jiran selepas polis mengepung kawasan itu pada 6 petang, Selasa lalu.

Menurutnya, pihaknya mengubah strategi untuk mengepung awal kawasan itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diisytiharkan bagi mengelakkan penduduk lari daripada melakukan ujian saringan.

Katanya, antara 700 hingga 800 penduduk tinggal di kawasan itu dan pihaknya sedang mengesan penduduk yang hilang melalui rakan sebilik, jiran serta aplikasi MySejahtera.

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 3:51pm
d