mutakhir

RM150 juta laksana projek atasi banjir kilat sekitar KL

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem perparitan untuk mengatasi masalah banjir kilat di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu membabitkan tebatan banjir kolam takungan air di Taman Botani serta mempertingkatkan sistem perparitan utama di sekitar Kuala Lumpur.

"Kerja membesar dan mendalamkan 16 kolam takungan banjir sedang giat dilaksanakan.

"Kawasan kolam, lombong atau tasik sesuai untuk dijadikan sebagai kolam takungan banjir juga sedang dikenal pasti sebagai tambahan kepada sedia ada," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada 76 keluarga mangsa banjir kilat di Kampung Baru, di sini hari ini.

Beliau berkata, DBKL juga akan mensyaratkan setiap pemaju perumahan baharu wajib menyediakan kolam takungan banjir dalam kawasan pembinaan dibangunkan.

"Walaupun keperluan ini memerlukan kos tinggi, namun ia perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

"DBKL juga akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan parit dan longkang dengan lebih kerap sekurang-kurangnya sebulan sekali," katanya.

Katanya, DBKL juga dalam perancangan membangunkan sistem amaran banjir yang diintegrasikan bersama Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) bagi mewujudkan Sistem Amaran Awal Banjir.

"Sistem itu diwujudkan bagi memberikan amaran awal kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dan dapat membantu mereka bertindak awal menyelamatkan diri serta barangan penting sekiranya berlaku banjir kilat.

"Melalui sistem ini, pengguna jalan raya juga boleh mengelak daripada menggunakan laluan yang sudah ditenggelami air.

"Saya juga berharap, lokasi hotspot banjir disediakan kamera litar tertutup (CCTV) selain kerjasama dapat diadakan antara DBKL dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan pihak berkaitan untuk membangunkan Sistem Amaran Awal Banjir ini," katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata berhubung menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan bebas berniaga bermula esok, inisiatif kebenaran membuka gerai atau perniagaan kecil-kecilan di mana-mana lokasi tertakluk kepada garis panduan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

"Pelbagai undang-undang yang ada seperti penjaja, kesihatan dan perancangan tetap dikuatkuasakan bukan bermakna bila saya kata wilayah bebas berniaga, maka undang-undang digantung dulu, ia tidak begitu," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 3:56pm
d