mutakhir

'Lelaki itu tiada kaitan dengan kami' - Pengasas EY Beauty Empire [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Pengasas EY Beauty Empire Sdn Bhd menafikan syarikat kosmetik miliknya terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah, susulan penahanan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dilaporkan semalam.

Pengasasnya yang juga Pengarah Urusan EY Beauty Empire Sdn Bhd Zalina Zahari turut menegaskan lelaki yang ditahan bersama syabu bernilai RM5 juta bukan Ketua Pegawai Eksekutif syarikatnya sebagaimana yang tersebar di media sosial.

"Susulan laporan berita yang mendakwa seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditahan semalam, ramai orang mengaitkan lelaki terbabit dengan kami sehingga ada mengatakan syarikat kosmetik saya turut terbabit dengan aktiviti dadah.

"Saya ingin menegaskan lelaki berkenaan tiada kaitan langsung dengan syarikat saya selain menafikan EY Beauty Empire Sdn Bhd terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Pembabitan lelaki berkenaan dengan kami hanyalah dua kali iaitu ketika promosi produk pada Julai dan Ogos lalu.

"Isteri lelaki berkenaan pula saya hanya dikenali ketika berurusan berkaitan sewa dewan dan meminta bantuan saya untuk mengeluarkan produk kosmetik," katanya ketika sidang media di Jewels Hotel di sini, hari ini.

Zalina berkata, sepanjang berurusan dengan lelaki berkenaan, beliau hanya dimaklumkan lelaki itu menjalankan perniagaan kontraktor, balak dan kayu gaharu.

"Saya tidak tahu mengenai pembabitan lelaki itu dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sehinggalah ia dilaporkan semalam.

"Saya percaya kepada polis untuk menyiasat perkara ini serta menyerahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menyiasat dan menentukan pembabitan lelaki berkenaan.

"Hari ini, saya juga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu bagi menafikan pembabitan kami dengan aktiviti dadah serta mahu membersihkan nama syarikat kami yang baru beroperasi Jun lalu," katanya.

Menurutnya, EY Beauty Empure masih lagi kekal menjalankan perniagaan berasaskan kosmetik dan minuman serta tidak sesekali terbabit dalam menyokong mana-mana individu yang menjalankan aktiviti bertentangan dengan undang-undang.

"Saya juga memohon pengguna Facebook, Instagram serta media sosial lain untuk berhenti mengaitkan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah dan apa jua kegiatan menyalahi undang-undang.

"Kami menganggap ia fitnah jahat dan boleh menjatuhkan nama baik syarikat serta produk kami di mata masyarakat.

"Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang melalui saman sivil terhadap mereka yang membuat posting mengaitkan EY Beauty Empure dengan kegiatan dadah," katanya.

Semalam, media melaporkan suami kepada usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri serta adiknya ditahan polis dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Ahli perniagaan berusia 31 tahun itu serta adik lelakinya yang juga seorang anggota tentera berusia 25 tahun ditahan pada 4.30 petang Selasa lalu bersama bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram dianggarkan bernilai RM5 juta.

Berita berkaitan

Usahawan kosmetik ditahan terbabit penyeludupan dadah RM5 juta

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 4:14pm
d