mutakhir

Galak wanita jadi usahawan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan lebih ramai usahawan wanita dilahirkan dalam keadaan ekonomi mencabar menerusi Belanjawan 2021.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peranan wanita dalam merancakkan ekonomi tidak boleh dinafikan malah ia sumbangan signifikan kepada pendapatan negara.

Menurutnya, menerusi pelbagai program e-dagang, usahawan wanita akan didedahkan dengan kemudahan internet menerusi lebih 1,000 pusat internet desa di seluruh negara.

"KPWKM juga sudah bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya dapat mengoptimumkan penggunaan pusat internet desa dalam memasarkan produk.

"Kini platform e-dagang menjadi pilihan masyarakat dan ia sudah pasti membantu golongan wanita meningkatkan ekonomi keluarga dalam tempoh Covid-19," katanya pada sidang media khas di kementeriannya, di sini.

Dalam pada itu, Rina menyifatkan Belanjawan 2021 menyentuh semua golongan sasar dengan bantuan dan inisiatif yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, golongan sasar dianggarkan lebih 400,000 orang akan menerima manfaat secara berterusan selagi memenuhi kriteria ditetapkan kerajaan.

"Ada rakyat yang sakit dan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi kerana perlu membeli susu dan ubat yang mahal setiap bulan.

"Tetapi dengan bantuan RM350 sebulan sebelum ini sudah pasti tidak mencukupi untuk mereka menampung perbelanjaan kerana harga pasaran barangan keperluan itu sebenarnya lebih tinggi," katanya.

Katanya, melihat keadaan itu, kerajaan memberikan bantuan berterusan untuk golongan sasar selaras dengan keperluan dan nilai semasa.

Selain itu, kerajaan menyediakan peruntukan untuk persediaan Malaysia yang akan menjadi negara tua pada 2030 dengan mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe).

Katanya, kementerian menyasarkan setiap kawasan Parlimen akan memiliki sebuah Pawe dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Setakat ini, sebanyak 50 Pawe beroperasi dan kementerian akan merangka persediaan untuk menambah bilangan pusat berkenaan.

"Bagi merancakkan aktiviti, Belanjawan 2021 meningkatkan peruntukan Pawe daripada RM33,000 kepada RM50,000 setahun," katanya.

Rina berkata, kementerian juga menggalakkan aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat untuk membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Oleh itu, katanya kerajaan bersetuju menaikkan elaun sukarelawan sehingga RM400 untuk menjaga warga emas dan OKU.

"Warga emas tidak perlu dimasukkan ke pusat penjagaan kerana adanya sukarelawan yang boleh menjaga mereka di rumah," katanya.

Katanya, kadar bantuan kebajikan bulanan bagi OKU dan warga emas juga dinaikkan dengan RM300 sebulan untuk OKU tidak berupaya berkerja dan RM450 sebulan untuk elaun pekerja OKU.

Katanya, bantuan warga emas, penjagaan OKU dan pesakit terlantar kronik juga dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 sebulan.

"Kanak-kanak daripada keluarga miskin menerima RM200 untuk anak berusia enam tahun ke bawah dan RM150 seorang untuk anak berusia tujuh hingga 18 tahun dengan bantuan maksimum RM1,000 setiap keluarga," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 7:01am
d