mutakhir

Runsing kubur kerap digali babi hutan

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Sampai bila kami terpaksa halau puluhan babi hutan yang mengancam perkuburan Islam ini setiap hari," kata Imam Masjid, Kampung Pasir Tumbuh, Abdul Mutalib Seman, dekat sini.

Katanya, keadaan itu berlaku berikutan pagar sedia ada di tanah perkuburan itu sudah rosak dan belum ada pihak membantu membina pagar baru.

Dia berkata, banyak kubur digali lebih 30 babi hutan yang berkumpul di kawasan terbabit.

Menurutnya, penduduk atau keluarga si mati terpaksa berulang kali menimbus semula lubang yang digali babi hutan terutama awal pagi dan malam.

"Keluasan kubur ini 1.2 hektar yang dibuka sejak 30 tahun lalu dan boleh dikatakan hampir setiap hari menjadi tempat babi berkumpul.

"Sudah lebih 10 tahun perkara itu berlaku dan sudah jemu kami bersama penduduk menghalaunya ke kawasan hutan berhampiran," katanya di sini, hari ini.

Abdul Mutalib berkata, bukan saja kubur itu tidak lagi berpagar tetapi juga pondok untuk orang ramai menyempurna pengebumian jenazah terlalu uzur.

Katanya, tiga pondok yang ada di tanah perkuburan itu rosak dan hampir runtuh kerana terlalu lama dibiarkan begitu saja.

Penduduk, Rozali Omar, 63, berkata, ada juga kubur yang ditimbus lubang digali babi hutan pada sebelah pagi tetapi pagi keesokan digali semula.

Katanya, keadaan itu berlaku secara berulang kali hingga penduduk tidak lagi larat berbuat demikian dan kini dibiar begitu saja.

"Terpulanglah kepada waris si mati untuk menimbus semula lubang yang digali babi kerana orang lain tidak sanggup lagi berbuat demikian," katanya.

Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Tanah Perkuburan Islam itu mengakui sudah banyak kali mengadu kepada pemimpin, agensi dan jabatan kerajaan terbabit.

"Namun, sampai hari ini tidak ada yang datang untuk melihat keadaan itu dan menghulur bantuan bagi membina pagar baru," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 11:04am
d