mutakhir

Tangkap belut kumpul duit belanja [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Marang: Hobi mencari belut dimanfaatkan sepenuhnya oleh empat kanak-kanak dari Kampung Seberang Marang, di sini, dengan menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan.

Bagaimanapun, dalam keghairahan mengumpul 'duit belanja' hasil titik peluh sendiri, empat sekawan, Mohd Adam Adha Faiza, Mohd Aqid Islam Fikri, Mohd Ariff Farhan Akmal dan Mohd Adam Ashraf Nasir, masing-masing berusia 11 tahun tidak mengabaikan waktu persekolahan mereka menerusi pembelajaran secara dalam talian.

Mohd Adha berkata, hobi menangkap belut bermula selepas sering mengikut bapanya menangkap ikan berkenaan di baruh berhampiran kawasan rumah mereka.

Menurutnya, setiap pagi, dia bersama tiga rakan ke baruh untuk memasang perangkap menggunakan sejenis alat yang diperbuat daripada batang paip (PVC).

"Setiap hari saya bersama rakan memasang lapan hingga 12 batang tukil (alat digunakan untuk memerangkap belut) dan mampu menangkap kira-kira lima kilogram setiap hari.

"Kami memasang perangkap pada sebelah petang dan awal pagi keesokan hari, semua tukil yang dipasang itu diangkat dan hasilnya dijual kepada pengusaha restoran di kampung berkenaan dengan RM20 untuk satu kilogram," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi Mohd Ariff Farhan pula, bergelumang dengan selut sudah menjadi mainan bagi kanak-kanak di kampung berkenaan setiap menjelang musim tengkujuh.

Katanya, mereka memasang tukil yang dibuat sendiri sepanjang kira-kira satu meter, pada 5 petang dan mengangkat tukil berkenaan jam 7 pagi esoknya.

"Tukil hendaklah diangkat pada awal pagi kerana jika terlewat belut akan mati dan tidak laku untuk dijual," katanya.

Sementara itu, bapa Mohd Adha, Mohd Faiza Abdul Kadir, 40, berkata dia tidak menghalang hobi anak ketiga daripada empat beradik itu, namun sering berpesan supaya tidak mengabaikan pelajaran.

"Mencari belut adalah aktiviti dilakukannya terutama pada musim tengkujuh sebagai pendapatan sampingan. Dengan aktiviti berfaedah itu, boleh mereka mengumpul duit sendiri untuk belanja sementara sekolah dibuka semula tahun depan.

"Saya tidak risau keselamatan mereka kerana sering turut serta lagipun kawasan baruh itu cetek dan sering dikunjungi ramai," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 7:47pm
d