mutakhir

RM12 juta pulih Laguna Semerak

Oleh BERNAMA

Pasir Puteh: Kerajaan Kelantan akan memulihkan semula kawasan penternakan ikan Laguna Kuala Semerak di sini melalui peruntukan RM12 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan itu bakal digunakan untuk membina terusan sepanjang satu kilometer bagi melancarkan aliran air, sekali gus meningkatkan kandungan oksigen di lagun tersebut dalam membantu proses tumbesaran ikan yang diternak para peserta di kawasan tersebut.

Katanya, pembinaan terusan itu juga dapat menyelamatkan para penternak daripada terus mengalami kerugian kerana ternakan mereka sebelum ini sering mati dipercayai berpunca akibat sistem perairan tidak teratur di kawasan itu.

"Saya sudah membawa perkara ini (masalah Laguna Semerak) ke pengetahuan pihak kementerian. Masalah Laguna Semerak ini sudah dimasukkan dalam RMK-12 dan Insya-Allah masalah akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan pelet makanan ikan kepada Persatuan Penternakan Ikan Laguna Semerak (PPILS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata peruntukan untuk membina terusan itu juga boleh mengatasi masalah pencemaran air di Laguna Semerak, terutamanya ketika dilanda banjir pada musim tengkujuh.

"Ini disebabkan air dari laguna itu tidak dapat keluar ke laut, manakala air laut pula tidak dapat memasuki kuala yang tertimbus mengakibatkan airnya terperangkap, tercemar dan kekurangan oksigen.

"Pencemaran itu berlaku setiap kali musim banjir apabila air dari daratan yang membawa pelbagai pencemaran toksik mengalir ke kawasan berkenaan," katanya.

Terdahulu, Wan Hassan menyampaikan 1,000 beg pelet makanan ikan kepada seramai 50 penternak ikan di Laguna Semerak, yang bertujuan meringankan beban penternak yang berdepan kerugian besar pada hujung tahun lalu.

"Sumbangan pelet makanan ikan gred A ini membabitkan peruntukkan berjumlah RM100,000 daripada kerajaan negeri," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 8:04pm
d