mutakhir

Baru tiga hari kenal, dah ikut lelaki... [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Baru tiga hari kenal, seorang remaja perempuan sudah berani mengikut lelaki yang baru dikenalinya ke sebuah bilik sewa di Jalan Langgar, di sini.

Difahamkan, sebelum itu, pelajar tingkatan satu terbabit memberi alasan kepada ibunya hendak keluar sebentar sebelum mengikut lelaki yang dikenali melalui WhatsApp selepas diperkenalkan oleh rakannya.

Bilik yang agak sempit dan padat itu dipercayai disewa pada harga RM50 semalam oleh salah seorang lelaki.

Bagaimanapun, remaja berusia 13 tahun itu diselamatkan selepas polis menyerbu bilik berkenaan, 12.30 tengah malam tadi.

Ketika serbuan itu, polis menahan remaja perempuan terbabit dan enam lagi individu lain, termasuk dua remaja perempuan, masing-masing berusia 15 dan 18 tahun, serta empat lelaki berusia antara 14 hingga 21 tahun.

Selain itu, pemeriksaan di dua bilik bersebelahan mendapati terdapat dua pasangan lain.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim.

Selain itu, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) turut menyertai operasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Nor berkata, dalam Ops Bersepadu /Ops Pelita itu, seramai 11 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan berkumpul di dalam tiga bilik.

Beliau berkata, tujuh daripada mereka berada di dalam satu bilik, manakala dua lagi pasangan di dua bilik berlainan.

Beliau berkata, tujuh daripadanya turut didapati positif dadah, termasuk tiga remaja perempuan berusia 15, 17 dan 18 tahun.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif ketamin dan methampetamine," katanya.

Mengulas lanjut katanya, mereka yang didapati positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun katanya, dua pasangan lagi disiasat kerana melanggar PKPB dan diserahkan kepada penguat kuasa JAIK kerana disyaki berkhalwat.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 10:16am
d