mutakhir

Lima beradik, lelaki Myanmar didakwa edar dadah [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Tapah: Enam individu termasuk lima beradik didakwa di Mahkamah Majistret Tapah, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine, dua minggu lalu.

Tertuduh, S Sridharan, 20; S Suthentiran, 21; S Suthesan, 18; S Rathiswaran, 23; dan adik lelaki mereka berusia 17 tahun bersama lelaki warganegara Myanmar, Kyaw, 23, didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 37.2 kilogram (kg) di Mukim Chenderiang di sini pada 9.15 pagi 4 November.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta Sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Lima beradik berkenaan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Bagaimanapun seorang lagi tertuduh warganegara Myanmar tidak memahami pertuduhan berkenaan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Mohd Harith kemudiannya menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan semula bagi mendapatkan khidmat jurubahasa untuk Kyaw.

Mahkamah turut menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli dan tertuduh diwakili peguambela Rajit Singh.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan polis menumpaskan sindiket pemprosesan dadah disyaki syabu yang menjadikan kawasan ladang kelapa sawit sebagai makmal mini di Chenderiang di sini, 4 November lalu.

Serbuan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di ladang berkenaan pada 9.15 pagi itu turut menahan enam lelaki termasuk seorang warga Myanmar bersama rampasan syabu bernilai anggaran RM1.6 juta.

Berita berkaitan:

  • Polis bongkar makmal proses syabu dalam ladang kelapa sawit [METROTV]
  • Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 11:54am
    d