mutakhir

Nak berlumba sangat

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Tindakan empat lelaki termasuk dua pelajar sekolah menjadikan jalan kampung di Lahar Kepar, Penaga, di sini, sebagai litar lumba ditahan polis yang mengadakan Ops Samseng Jalanan, semalam.

Sebelum itu, dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun dilihat menunggang motosikal secara melulu serta merbahaya dengan diekori pelajar sekolah berusia 17 tahun yang membonceng rakannya berusia 14 tahun antara jam 5 petang hingga 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka didapati berlumba dari Lahar Ikan Mati menghala Penaga sambil melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

"Sebelum tangkapan dibuat, pasukan operasi membuat pemantauan dan pemerhatian ke atas semua individu terbabit.

"Mereka kemudian ditahan sebaik berhenti di sebuah jambatan tepi jalan Lahar Kepar menghala Kepala Batas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat individu itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Noorzainy berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sentiasa membanteras kegiatan lumba haram dari semasa ke semasa.

"Sehingga kini, seramai 50 individu ditahan sepanjang Ops Samseng Jalanan. Golongan muda dinasihatkan menghentikan perbuatan yang bukan saja berisiko kepada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya lain," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 1:06pm
d