mutakhir

Penjawat awam, guru Kafa di Pahang terima bantuan khas [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas RM1,000 kepada 8,000 kakitangan negeri tanpa pengecualian gred yang akan diterima sebelum 16 Januari tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan keseluruhan bayaran khas kewangan itu berjumlah RM8 juta.

Katanya, pemberian bantuan khas itu bertambah berbanding RM750 yang diberikan pada tahun lalu.

"Insya Allah, pada tahun yang mendatang, sekiranya prestasi kewangan negeri bertambah kukuh, tidak mustahil kerajaan negeri akan memberikan bantuan khas kewangan ini dengan lebih lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketia Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Pada masa sama, Wan Rosdy berkata, seramai 2,978 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di sekolah dan asrama di Pahang akan menerima RM300 seorang secara sekali bayaran.

Katanya, peruntukan keseluruhan bantuan khas kewangan itu berjumlah RM893,400.

"Oleh itu, harapan kerajaan negeri agar kita sentiasa ingat akan 'Jika berbelanja janganlah sampai boros dan jika berjimat janganlah sampai kedekut," katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan peruntukan RM1.5 juta melalui Program Cakna Suri iaitu ujian mamogram secara percuma kepada 6,000 wanita di Pahang tahun depan.

"Pemilihan peserta berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan bermula awal tahun depan di klinik terpilih.

"Semoga peruntukan ini dapat membantu pengesanan awal kanser payudara yang sering dihadapi oleh wanita kini," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 1:17pm
d