mutakhir

Kadar gaji minimum operator kren menara RM3,000 sebulan

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (Perkrema Malaysia) memperjelas Kadar Gaji Siling (KGS) dan tata cara kerja selamat operator kren menara bagi mengelak salah faham masyarakat.

Perkrema Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendapati terdapat kesilapan maklumat berkaitan gaji operator kren menara dan kesalahan tata kerja selamat bagi pengendalian jentera berat itu menerusi artikel dilaporkan media, hari ini.

"Perkrema Malaysia menerima beberapa aduan daripada sebahagian operator kren menara lama dan baharu berkaitan dengan maklumat dalam artikel berkenaan.

"Pihak persatuan menghubungi operator kren menara Muhammad Arash Ramdhan Saiidi bagi mendapatkan pengesahan dan penjelasan berhubung artikel berkenaan.

"Hasilnya, pihak persatuan mendapati terdapat kesilapan maklumat berkaitan gaji operator kren menara dan kesalahan tata kerja selamat bagi pengendalian kren menara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Perkrema Malaysia berkata, pihak persatuan mengesahkan Muhammad Arash memberikan butiran berbeza seperti dikeluarkan dalam artikel berkenaan.

"Situasi semasa dalam dunia kren menara kini rata-ratanya gaji pokok sekitar RM4,000 bagi seorang operator yang bekerja 26 hari.

"Namun, ada dibayar di bawah paras itu disebabkan beberapa faktor antaranya kewujudan dan persaingan antara subkontraktor yang membekal tenaga mahir bidang pekerjaan ini sehingga menjejaskan kadar gaji operator.

"Pihak persatuan memandang serius perkara ini dan sudah menggerakkan program Program Kontrak Operator Kren Menara Tanpa Perantara (KONTRA) iaitu antara objektifnya menjadikan pengendalian kren menara lebih selamat dan efektif dengan satu unit kren dikendalikan dua orang operator kompeten," katanya.

Menurutnya, menerusi program KONTRA, pihaknya dalam usaha menetapkan KGS bertepatan dengan kadar minimum RM3,000 bagi seorang operator dan bayaran kerja lebih masa RM30 bagi setiap jam dan hanya bekerja selama 13 hari dalam sebulan secara teknikalnya.

"Operator Muhammad Arash mengakui kesalahan beliau dalam tata kerja selamat pengendalian kren menara iaitu tidak memakai 'safety harness' ketika memanjat atau menuruni tangga kren menara.

"Justeru itu, beliau secara terbuka mengakui dan memohon maaf di atas kesalahan dilakukan dan berjanji akan mematuhi prosedur tata kerja selamat pengendalian kren menara di masa akan datang," katanya.

Perkrema Malaysia berharap operator jentera berat dan pihak berkaitan memandang perkara ini dalam sudut positif.

Perkrema Malaysia sentiasa menyokong dan membantu operator kren menara untuk memperjuangkan hak mereka, membela kebajikan pekerjaan dan menjadi pemangkin kepada usaha menggerakkan profesionalisme dalam kalangan operator jentera berat dalam negara.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 3:01pm
d