mutakhir

Geng ekzos tumpas [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Serdang: Polis menumpaskan geng 'ekzos' selepas menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri komponen kenderaan itu di sekitar daerah ini pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki berusia 36 dan 54 tahun susulan laporan polis daripada pengawal keselamatan sebuah bangunan kediaman di Puchong berhubung kegiatan suspek mencuri komponen daripada kereta terbiar di kawasan itu.

"Dua suspek ditahan di sebuah hotel di Jalan Imbi, Kuala Lumpur sebelum membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang juga pembeli utama barang curi itu di kawasan tepi jalan SS2, Petaling Jaya.

"Hasil siasatan terhadap suspek ketiga berusia 54 tahun itu mendapati setiap satu ekzos yang dicuri akan dibeli dengan harga lingkungan RM350 hingga RM650 mengikut jenis kenderaan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Razali berkata, suspek akan menjual ekzos berkenaan kepada sebuah syarikat yang dipercayai pembekal barang kemas dengan harga RM1,500 setiap satu.

"Siasatan mendapati di dalam tabung ekzos itu mempunyai tiga bahan iaitu paladium, rodium, platinum yang akan dicampur dengan bahan kimia tertentu bagi menghasilkan emas putih.

"Siasatan lanjut juga mendapati, suspek utama aktif membeli ekzos curi dari sekitar Lembah Klang sejak tahun 2018," katanya.

Menurutnya, susulan penahanan suspek polis berjaya merampas 15 tabung ekzos yang disimpan di kawasan semak di Petaling Jaya.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 3:42pm
d