mutakhir

Bau wangi dari liang lahad [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Bau wangi datang dari liang lahad selepas selesai digali adalah antara peristiwa yang masih terpahat dalam ingatan Mahathir Muhamed Ali, 45, yang sebelum ini ditugaskan sebagai Pengurus Tanah Perkuburan Meru Raya di Ipoh, Perak.

Menurutnya, meskipun peristiwa itu sudah beberapa tahun berlalu, namun dia masih lagi mengingatinya sehingga ke hari ini.

Bapa kepada enam anak berusia 12 hingga 24 tahun itu berkata, sebaik dia dan seorang rakannya selesai menggali kubur, mereka menunggu sehingga jenazah dibawa ke tanah perkuburan kerana ingin mengetahui siapakah pemilik liang lahad itu.

"Selepas beberapa lama menanti, akhirnya jenazah yang akan dikebumikan itu tiba di tanah perkuburan dan sejurus selepas selesai urusan pengebumian, saya bertanya kepada salah seorang daripada mereka yang datang.

"Menurut individu berkenaan, jenazah yang dikebumikan itu adalah seorang wanita muda dan sepanjang hayatnya dia selalu berbuat baik sesama manusia dan memiliki hati yang bersih," katanya ditemui di kedainya di Jalan Pasir Mas-Salor.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya dalam bidang pembuatan belindan, Mahathir yang juga Pengurus Besar Ukiran Nisan Anak Muda berkata, sejak 10 tahun lalu dia memulakan perniagaan itu sebagai pendapatan sampingan yang turut dibantu abang dan adik, Alizar Muhamed Ali, 49, dan Mohd Ilmi, 34, serta anak keempatnya, Muhammad Haziq, 19.

"Sepanjang terbabit dalam perniagaan ini, ada di antara pelanggan yang masih hidup menempah batu nisan dan belindan untuk diletakkan di hadapan pagar rumah.

"Walau bagaimanapun, tempahan batu nisan dan belindan itu hanya diletakkan nama dan tarikh lahir, namun tarikh kematian dikosongkan yang bertujuan mengingati mereka mengenai kematian," katanya.

Mahathir berkata, kebiasaannya dua bulan sebelum Aidilfitri sehinggalah Aidiladha, perniagaan batu nisan dan belindan mendapat permintaan tinggi sehingga memberi pendapatan lumayan. "Sehingga kini saya mempunyai enam cawangan iaitu satu di Kelantan, dua di Melaka dan tiga di Perak yang pada masa sama turut dibantu oleh 50 ejen.

"Kerja pembuatan batu nisan dan belindan memerlukan kemahiran, kesabaran serta ketelitian tinggi dan ia mengambil masa antara seminggu hingga tiga minggu bergantung kepada jenis batu yang dikehendaki pelanggan.

"Saya menawarkan beberapa jenis belindan termasuk trazo dan marmar dengan harga mengikut jenis serta permintaan pelanggan bermula RM250 hingga RM10,000," katanya.

Katanya, mengusahakan pembuatan belindan dan batu nisan memberi kepuasan kepada dirinya apabila dapat membantu memudahkan urusan waris si mati selain memberinya peluang sentiasa mengingati kematian serta lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 4:06pm
d