mutakhir

Derita barah suami isteri [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jika dahulu dia sering membuat liputan insan yang memerlukan bantuan namun kini seorang bekas jurugambar sambilan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) pula berhadapan situasi yang sama.

Dazar Suarman, 71, yang juga bekas anggota Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menderita barah perut dan buah pinggang menyebabkan badannya semakin lemah.

Lebih memilukan isterinya, Rufiah Karsan, 68, hanya mampu terlantar kerana menderita barah payudara sejak 2009 manakala anak sulungnya, Sariah, 38, orang kurang upaya kerencatan akal selain bisu dan pekak.

Dazar yang berkhidmat sebagai jurugambar sambilan NSTP pada 2000 hingga 2016 berkata, anak keduanya, Asharah, 36, terpaksa berhenti kerja sejak tiga bulan lalu bagi menjaga mereka bertiga sepenuh masa yang menetap di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat.

"Sebelum ini saya yang menjaga isteri dan anak sulung sepenuh masa dengan pencen PDRM sebanyak RM1,800 namun selepas saya pun sudah tidak kuat lagi, anak bongsu terpaksa pulang ke kampung menjaga kami pula.

"Sebelum ini saya hanya berulang-alik ke klinik dan hospital kerajaan namun sejak empat bulan lalu, saya mengalami kesakitan luar biasa di bahagian pinggang dan perut sehingga tidak berdaya lagi.

"Apabila pemeriksaan dibuat di sebuah hospital swasta, saya disahkan menghidap barah perut dan buah pinggang dan perlu membuat rawatan susulan.

"Namun selepas ini, saya perlu kembali ke hospital kerajaan semula kerana tidak mampu dengan kos yang tinggi di hospital swasta," katanya ketika ditemui sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik pakar swasta, di sini, hari ini.

Dazar berkata, beliau juga sudah tidak boleh makan makanan selain bijirin nestum dan sago yang dimasak bersama sedikit gula melaka.

"Saya sentiasa sakit siang dan malam. Tidak boleh tidur, kalau boleh tidur dalam 20 minit di kerusi, kalau tidur baring macam biasa memang tak boleh, itulah penderitaan saya selama empat bulan sebelum disahkan menghidap barah perut dan buah pinggang.

"Perbelanjaan saya gunakan duit saya sendiri selain derma daripada kawan satu kampung. Merekalah yang tolong dan berkorban termasuk menghantar saya mendapatkan rawatan di Johor Bahru.

"Dua minggu ini saya belanja lebih RM5,000 untuk rawatan dan ubat. Saya tidak menerima apa-apa bantuan daripada agensi kerajaan.

"Kami sekeluarga kena ikat perut kerana perbelanjaan ubat untuk saya, isteri dan anak sulung tinggi dan kadangkala tidak cukup," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak yang melawat Dazar berkata, pihaknya terpanggil untuk menyantuni bekas ahli kelab berkenaan yang pernah bersama-sama menyumbang bakti dalam dunia kewartawanan di negeri ini.

"Ini adalah satu daripada program KMJ yang meniktikberatkan kebajikan ahli dan bekas ahli kelab.

"KMJ akan memaklumkan kepada PDRM Johor mengenai keadaan terkini Encik Dazar memandangkan dia bekas anggota Skuad 69 dan mungkin sedikit bantuan boleh diberikan kepadanya bagi meringankan beban," katanya yang menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai bagi pihak KMJ kepada Dazar.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Maybank milik Dazar, 151593093317.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 5:39pm
d