mutakhir

20 pegawai, anggota polis ditukar disyaki terbabit Macau Scam

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih 20 anggota, pegawai termasuk pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditukar kerana disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika mengesahkan perkara itu hari ini berkata, langkah menukarkan anggota dan pegawai terbabit adalah tindakan pertama pihaknya dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang bersekongkol dengan penjenayah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pegawai PDRM yang akan dikenakan tindakan selepas ini berhubung perkara itu.

"Sudah diambil tindakan. Tindakan pertama ialah menukarkan mereka dari tempat sensitif. Tindakan kedua sekiranya ada bukti-bukti lain kita akan ambil tindakan selanjutnya.

"Tidak silap saya ada 20 (orang). Akan keluar lagi (pertukaran). Tak ada apa yang sensasinya jika perkara seperti ini. Kalau berlaku, kita siasat. Bila ada faktanya, kita ambillah tindakan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas melakukan kunjungan ke atas bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini.

Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan berkata semua pegawai dan anggota yang bakal ditempatkan di Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan disaring oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuh di Bukit Aman bagi memastikan mereka yang bakal ditempatkan di bahagian 'panas', mempunyai integriti yang tinggi.

Kes membabitkan pegawai kanan polis itu dikesan susulan penahanan beberapa selebriti dan usahawan kosmetik oleh SPRM bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengubah atau 'mencuci wang haram' daripada sindiket Macau Scam dan pengendali judi dalam talian.

Terdahulu Abdul Hamid mengunjungi Tun Abdullah bagi memaklumkan status siasatan kes berhubung penyebaran berita palsu kematian bekas perdana menteri itu.

Jelasnya, dua individu termasuk penulis artikel telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung penularan berita berkenaan.

"Pihak polis melakukan siasatan dan daripada siasatan itu kita dapati apa yang ditulis tidak mempunyai niat tidak baik...salah komunikasi, tersilap. Kita sudah mengambil tindakan memanggil penulis artikel berkenaan dan semuanya sudah selesai," katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Pegawai Khas Abdullah Datuk Jefridin Atan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, berhubung penyebaran berita palsu sebanyak dua kali dalam masa seminggu yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan, kerana ia membabitkan hal berkaitan perdana menteri kelima itu.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 7:34pm
d