mutakhir

Dua maut, lori sampah bertembung lori tanah

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Dua maut manakala tiga lagi cedera selepas lori sampah bertembung dengan lori tanah di Jalan Meru Tambahan, di sini kira-kira 1.30 tengah hari.

Mangsa maut adalah penumpang lori sampai dipercayai pekerja iaitu Effendi Salleh, 30, dan warga Bangladesh, Mofij Ullah, 41.

Tiga mangsa cedera adalah pemandu lori sampah dan penumpang warga Bangladesh serta pemandu lori tanah.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori sampah yang datang dari Jalan Bukit Cerakah melanggar lori tanah yang menghala Jalan Meru Tambahan ke pekan Meru.

Kemalangan itu berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Meru Tambahan.

"Akibat langgaran itu, dua tercampak keluar daripada lori sampah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Punca sebenar kemalangan dipercayai kerana lori sampah itu mengalami masalah brek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua kenderaan berkenaan remuk di bahagian hadapan, manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana saksi kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Abdul 'Azim Mazlan di talian 013-4146144 untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 7:55pm
d